Hari ini genaplah 203 tahun umur PDRM. Dalam rangka masa lebih dua abad itu polis telah memberi perkhidmatan terpuji yang sangat-sangat diperlukan oleh negara. Apa tidaknya, kerana inilah satu-satunya ajensi kerajaan yang terulung dan yang dipertanggungjawabkan untuk menegakkan undang-undang serta menjaga kedaulatan negara. Dengan adanya polis negara dipastikan aman dan keamanan ini akan membawa kepada kepesatan kemajuan di negara yang kita sayangi ini.
Mengimbau kembali perjuangan ku dalam PDRM yang bermula pada 16 June 1969 dan berakhirnya pada 8 Mei 2006 iaitu selama lebih 38 tahun. Dalam tempoh yang begitu lama, aku berkesempatan melihat beberapa ancaman terhadap negara terutamanya ancaman kominis yang mana akhirnya mereka menyerah kalah pada 1 November 1989. Oleh kerana aku berkecimpung hampir sepenuh masa perkhidmatanku dalam Polis Hutan (Polis Gerakan Am sekarang), maka banyaklah aku terlibat dalam peperangan menentang dan menghapuskan kominis ini. Alhamdullillah, Tuhan sentiasa dipihak yang benar, dimana kominis telah kecundang dan negara pesat maju kehadapan.
Ketenteraman dan kedamaian ini sudah tentunya tidak datang bergolek. Ramai juga teman seperjuanganku telah gugur dan tercedera demi dalam mempertahankan kedaulatan negara. Ramai para isteri telah menjadi ibu-tunggal dan juga anak-anak yang ketandusan kasih sayang dari bapanya sejak awal2 lagi. Ingin aku rakamkan pengharagaan diriku dan juga negara amnya terhadap para2 pejuang yang telah gugur semasa bersama denganku:
Allahyarham Mohd Zabri, Mendiang Mandi, Mendiang Bah Tradil, Mendiang Lebar, Allahyarham Mansor, Allahyarham Zainuddin. Mereka ini telah berjuang berhabisan dengan pehak musuh dan gugur dalam perjuangan. Semoga Tuhan meletakkan mereka di tempat yang sewajarnya disisiNya.
Hari ini, rakyat Malaysia hidup aman, tenteram dan mewah. Sekadar untuk memberitahu sahaja bahawa, kami dulu pernah susah, pernah menangis dan nyawa kami masa itu tidaklah berharga sesen pun. Peluru tidak mengenal siapa, malahan upah (gaji) yang kami terima tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan polis sekarang ini. Namun, tugas kami lakukan dengan penuh dedikasi tanpa mengira sebarang kekurangan dan kepincangan dipihak kami. Perjuangan pasti diteruskan!
Hargailah keamanan ini! Ancaman kepada negara datangnya dengan berbagai rupa, yang mana akibatnya rakyat akan sengsara jika ancaman ini tidak ditangani dengan segera dan betul. Sebagai pesara aku masih mempunyai jiwa dan raga dalam polis, kerana telah melebihi dari setengah umurku bergelumang dalam perkhidmatan ini. Kawan2 kesayangku ramai telah gugur dan cedera parah serta cacat-kekal!
Sudah tentunya aku sayang PDRM, dan di hari yang mulia ini, aku berdoa semoga PDRM akan terus kekal untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman negara kita yang disayangi iaitu Malaysia!
Khamis, 25 Mac 2010
Hari Polis
Dicatat oleh ANUAR ZAIN di Khamis, Mac 25, 2010
Label: Peristiwa
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
bangganya saya berkerja bersama2 jabatan PDRM.. walaupun sebagai kakitangan awam.. semoga pihak polis akn terus & sentiasa maju dimasa akn dtg demi kerukunan sebuah negara yg penuh harmoni.. Happy Birthday PDRM.. ;o)
semoga PDRM akan terus berkhidmat dengan cemerlang dan jayanya
Catat Ulasan